Wednesday 10 January 2018

Luang Prabang UNESCO site part 1

Kebetulan Airasia ada buka laluan baru ke Laos selain dari Vientiane yakni Luang Prabang.  Luang Prabang? Ape bendenya tempat tu? Ntah..aku pun tak pasti nanti kita tengok sama-sama ye apa yang ada di Luang Prabang dalam post di bawah ini OK.

Kali ini aku macam biasa offer pada kawan-kawan sapa yang berminat untuk ikut aku dan kebetulan ada 2 orang yang berminat untuk join trip kali ini maka perjalanan kali bukanlah perjalanan solo seperti biasa aku lakukan. Perjalanan kembara tak solo pertama aku tahun 2017 jadi tak boleh ekstrim sangat, just stick dengan satu kawasan sahaja.



Luang Prabang bagi sesiapa yang tak tahu merupakan salah satu dari dua UNESCO site yang berada di negara Laos. Sebenarnya aku memang tau tempat ni tapi kalau takde route direct ke sini perjalanan kena ambil masa yang agak lama memandangkan Luang Prabang terletak di tengah-tengah negara Laos berbanding direct flight dari Malaysia yang paling hampir adalah Vientiane yang berada di selatan Laos.




Perjalanan dari Kuala Lumpur International Airport ke Luang Prabang airport mengambil masa dalam 3 jam perjalanan. Ditambah dengan hal-hal imigrasi dan lain-lain boleh mengambil masa yang agak lebih. Kami tiba agak lewat dalam jam 3 petang dan tidak terdapat sebarang plan pada petang itu. Oleh yang demikian aku mengajak dan menghasut member aku yang 2 orang tu berjalan kaki dari airport ke town. Disamping membuang masa dapat juga melihat keindahan alam semula jadi yang berada sepanjang perjalanan. Jarak dari airport ke pusat bandar adalah lebih kurang 7 km dan berjalan kaki mengambil masa lebih kurang 2 jam lebih. Cuaca pada masa kami tiba adalah sangat panas mula membuat kami rasa nyesal jalan kaki dan hampir-hampir kami membatalkan rancangan  dan menaiki sahaja tuktuk van yang berada disepanjang jalan yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan dengan harga 10000 kip sahaja bersamaan dengan RM5. Berkat ego dan juga rasa bangga dalam diri kami teruskan juga perjalanan berjalan kaki kami meskipun peluh dah berjurai dari seluruh badan. Bila lagi nak eksesais kan?




Akhirnya dalam cuaca berbahang tersebut , setelah habis hadam segala kalori nasik lemak pak naseer dalam flight tadi, kami tiba juga di hotel yang telah kami book melalui booking.com. Kami menginap di Global Guesthouse yang terletak sedikit outskirt, kira-kira 600meter dari Luang Prabang heritage town. Hotelnya harga ok cuma RM90 semalam yang mana kami menempah satu bilik yang mempunyai 3 katil. Bagi aku ianya kira ok lah sebab perbelanjaan hotel bagi seorang adalah RM30 je satu malam ;siap free breakfast lagi untuk 3 orang. So letak saja beg, kami berehat sambil minum free welcome drink yang diberi oleh owner / pekerja hotel yang cantik jelita tuh.



Luang Prabang town

Semasa di Mui Ne aku ada bertemu dengan seorang perempuan yang berasal dari Poland yang baru sahaja tiba dari Mui Ne dari Luang Prabang. Mengikut konteks yang dia ceritakan yang Luang Prabang adalah tempat menarik untuk dilawati sebab dia sangat suka dengan arkitektur dan slow pace yang ada di Luang Prabang namun dia dah warning awal-awal aku bahawa cuaca sangat panas di Luang Prabang dan boleh mencecah 40 degree. So sebenarnya dari awal lagi aku agak dah bersedia dengan cuaca yang bakal menimpa namun demikian jangan tersilap paham akan keadaan cuaca di Luang Prabang. Luang Prabang mempunyai suhu yang berbeza-beza mengikut musim...tak dapat dipastikan bahawa bandar ini mempunyai 4 musim atau tidak tapi ada ketikanya suhu di Luang Prabang mencecah  darjah celsius yang agak rendah pada musim-musim tertentu. Jadi kalau ke Luang Prabang sila semak musim perjalanan. Takut bawak seluar pendek dengan singlet sekali winter.



Historical site terletak di tengah-tengah Luang Prabang town. Kebanyakkan bangunan-bangunan yang terdapat disini adalah terdiri dari bangunan keagamaan atau bangunan perniagaan. Kebanyakkannya lah..selebihnya ada juga sekolah-sekolah dan bangunan kediaman. Senibina bangunan di sini adalah hasil dari campur aduk senibina eropah yakni French architecture pada bangunan perniagaan seperti cafe, hotel dan kedai-kedai dan juga senibina tempatan yang byk mempengaruhi bangunan keagamaan. Betul-betul di tengah kawasan historical site merupakan kawasan larangan kenderan berenjin. Oleh yang demikian aktiviti di sini selain dari berjalan kaki menyewa basikal juga menarik untuk dilakukan bergantung kepada kondisi cuaca. Aktiviti utama di historical site adalah..lepak dan mengambil gambar. (aktiviti aku la)





Dihujung historical site tersergam sungai Mekong yang menjadi sumber pendapatan dan juga pengangkutan bagi penduduk di Luang Prabang. Salah satu dari sungai terpanjang asia ini merupakan nadi utama penduduk Luang Prabang dimana selain dari jalan darat, sungai ini adalah jalan alternatif dan juga ada juga kawasan yang lebih mudah diakses dengan menggunakan jalan air. Disamping melepak di historical site, tunggu sunset di sungai Mekong juga adalah satu pilihan yang menarik sementara menunggu waktu malam untuk ke night market.


Bagi pengembaraan kali ini, di Luang Prabang kami tidak menyediakan sebarang itinerary sesuai dengan slogan kali ini 'relek-relek sudah'' cuma ada beberapa tempat menarik yang dah ditag untuk dilawati. Kawasan Unesco site ni pun tak besar sangat pun iaitu kalau nak berjalan kaki dari hujung ke hujung kawasan ini jaraknya sepanjang 3km dan ada 4 baris jalan. Tak paham kan? Kalau tengok map maybe boleh paham dengan jelas.


Night market di Luang Prabang adalah satu acara menarik yang harus untuk dikunjungi. Apa yang ada disini kebanyakkannya kain-kain dan hasil tenunan serta tak kurang juga dengan souvenir yang dihasilkan oleh rakyat tempatan. Harganya memang takde la murah sangat disebabkan barangan tersebut adalah local produk dan bukannya diimport dari China. Namun demikian rahsia bagi mendapatkan harga yang lebih competitive adalah dengan kaedah tawar menawar. Silap-silap boleh dapat separuh dari harga yang ditawarkan tadi. Cuma orang-orang Laos ini adalah orang-orang yang tidak berada..mostly mereka ini berniaga untuk menyara kehidupan keluarga seharian, sampai cengkerik pun diorang tangkap dan jual untuk bagi anak-anak pergi sekolah so personal opinion aku...kalau korang mampu beli beg tangan LV atau makan di Menate...harap janganlah tawar sampai peniaga tu tak dapat apa-apa keuntungan..itu namanya menganiaya..Dan aku tau semua yang travel ke Luang Prabang ni semuanya baik-baik belaka.



Night market ini rasanya ada setiap malam (aku pergi malam pertama dan kedua je) tapi tak macam di downtown Malaysia atau Thailand or Vietnam, nightmarket di sini awal tutupnya. Dalam jam 10.30 ke 10.45 malam memang kawasan ni dah hampir tutup sepenuhnya. Yang ada cumalah tukang sapu kawasan bertujuan untuk membersihkan sisa sampah yang masih lagi tinggal.



Di Luang Prabang terdapat beberapa kedai yang menjual makanan halal. Kebanyakannya adalah terdiri dari indian cuisine seperti Chennai dan Nazim (ditepi sungai) serta Nisha (sedikit outskirt dari pekan) namun begitu bagi sesiapa yang inginkan makanan yang agak local boleh lah ke Wat That guest house dimana di guest house tersebut ada menyajikan makanan tradisi masyarakat Laos yang menggunakan bahan-bahan halal. (tapi takde sijil atau logo halal lah ye) Lepak sembang pengalaman travel dengan abang Edi memang best. Dia ni backpacker yang bagi aku adalah seorang yang hardcore, mengembara dari negara kenegara orang tahun 80-90an, kalau tak silap aku. Abang Edi ni adalah menantu owner Wat That guesthouse tu dan dia ni sebenarnya orang Kelantan yang merantau secara backpack dengan buddy dia mat saleh dan akhirnya tersangkut ngan awek Laos dan menikah di sana. Jadi sebab abg Edi ni la adanya makanan halal di Wat That yang dimasak oleh isteri dia. Makanan rasa kira ok la dan melepak serta menyedut wifi percuma untuk masing-masing update istagram peribadi kat sana sambil melayan Suraya (anak abg Edi) yang boleh tahan jugak nakal dia.



Nightlife di Luang Prabang adalah...tidur..cuaca waktu malam boleh tahan juga sejuknya sebab tak banyak kenderaan di sini dan tempat ni agak kaya dengan tumbuh-tumbuhan menyebabkan suasana sejuk tersebut. Kalau korang suka clubbing atau suasana meriah seperti Phuket, Luang Prabang bukanlah tempat yang sesuai. Kalau nak lepak-lepak ia memang tempat yang tepat.

Bersambung

Wednesday 3 January 2018

Perbelanjaan dan Kesimpulan Trip : Journey To The North

Aku rasa dah publish dah post nih tapi tak tahu kenapa bila check post ni dah revert ke draft balik  dan banyak content lama dah hilang (lebih dari separuh) dan aku terpaksa re-write balik so ada yang tak sama dengan post lama...tapi aku cuba untuk recall balik dan ianya menyebabkan post Luang Prabang terpaksa dilewatkan..harap maaf




 Perbelanjaan (Ground Sahaja)


Perbelanjaan keseluruhan meliputi perbelanjaan ground sahaja tidak termasuk tiket flight ya. Mostly perbelanjaan yang dikemukakan ini adalah berdasarkan item-item yang harganya tetap seperti tiket bas dan bayaran masuk manakala item-item seperti kudap-kudapan aku amik lump sum sahaja supaya mudah kiraannya. Diharap sedikit sebanyak boleh dijadikan panduan sekiranya ke Phnom Penh dan Vietnam nanti.

Phnom Penh

Tambang bas air port ke bandar  1500 riel
Tuktuk tour 18usd
Tiket bas Phnom Penh - Saigon 15usd
Makan 8 usd


Saigon

Hotel - 2 malam 28USD
Makan 10usd
Kudap-kudapan 10usd
Tiket bas Saigon - Muine 14 usd


Muine

Hotel (Le Casa Del Latino Hotel) - 10 USD
Tour 200k dong
Tiket bas Muine - Dalat 350k dong
Makan 12 usd



Dalat

Hotel (Pizza Tet Hostel) - 7 USD
Tiket/ Entrance fee 30k dong
Makan 20 usd
Kudap-kudapan 10 usd
Tiket Bas Dalat-Hoi An 400k dong




Hoi An

Makan 12 usd
Tiket Bas Hoi An - Hanoi 450k dong
Kudap-kudapan 10usd


Hanoi

Hotel (Hanoi Backpackers Hostel) - 7.80 USD (2 malam)
Tour Halong bay 45usd
Makan 15usd
Kudap-kudapan 10usd
Tambang bas Hanoi - Airport 30k dong

JUMLAH KESELURUHAN = RM 1419.24



Kesimpulannya aku agak puas hati dengan trip ni. Agak banyak yang dapat dilihat dan dipelajari sepanjang trip 6 hari ini meskipun perbelanjaan kadangkala di luar kawalan. Antara yang perlu diperbaiki adalah perlu buat study dulu sebelum beli tiket flight. Tarikh-tarikh yang sesuai untuk melawat negara komunis ini. Biar aku listkan perkara2 penting seperti di bawah:

1. Pengangkutan

Terdapat 2 jenis pengangkutan yakni bagi perjalanan antara bandar dan satu lagi adalah di dalam bandar yang mana akan menghubungkan kita di destinasi menarik yang kita nak pergi. Kalau yang ada budget lebih bolehlah amik interconnecting flight dari satu Bandar ke satu bandar yang lain tapi masalahnya tak semua bandar 2 di Vietnam ada airport nya sendiri. Kalau nak lebih adventure boleh try naik train tapi masa perjalanannya agak panjang. Bagi aku pengangkutan yang paling effective adalah dengan menggunakan bas. Masalah dengan bas ni harganya bergantung pada pengusaha bas tu sendiri. Kalau ada holiday je diorang akan tekan harga sebab permintaan banyak dan bas yang ada terhad. So dekat sinilah yang aku cakap tadi kena tengok tarikh yang sesuai sebelum beli tiket melainkan korang memang nak tengok perayaan2 yang tertentu.



Transportation dalam bandar ada banyak. Bas tambang ada, teksi ada, grab ngan Uber pun ada. Tengok bajet masing2 la. Kalau nak sewa kereta atau motor pun boleh tapi sangat tak digalakkan la..jangan cari pasal kalau eksiden naya sebab lesen Malaysia tak recognise kat sana. Kalau yang hati kental boleh jalan kaki cam aku. (Bajet ciput)


2. Makanan

Kalau di bandar2 besar cam Hanoi atau Saigon memang tak ada masalah untuk cari makanan halal tapi di bandar2 kecik memang problem sikit. Tak pun masa dalam perjalanan yang long haul perlu sediakan kudap2 untuk isi perut sekadar perlu. Hati2 dengan makanan yang dijual di kedai macam 7eleven. Check dulu ingredients sebelum buat pembayaran. Bukan apa takut salah beli. Nak lagi ok bawak dari Malaysia. 



Kadang-kadang bas berhenti ke tepi jalan kat warung 2 mana2 tah. Harga makanan kat Vietnam bagi aku agak mahal kalau bandingkan dengan Malaysia lebih2 lagi makanan halal. Tak boleh nak salahkan pengusaha makanan jugak sebab diorang dapat bahan mentah dengan kadar yang boleh tahan juga harganya.

Di Kemboja lagilah sebab kebanyakkan harganya di quote dalam USD. Jadi kalau makan dalam 10 USD kalau convertkan dalam Ringgit Malaysia dah RM43 satu kali makan. So kalau travel lebih baik tak payah convertkan duit kepada RM. Bak kata orang, "Let it be"

3. SIM card

Yang ni bagi aku agak penting jugak terutama sekali bagi yang travel lebih dari sorang. Takut kut kut sesat ke senang dan bagi yang kaki sosial media memang wajib dapatkan, senang nak update status. SIM card Vietnam tak mahal kalau X silap aku dalam rm30++ kut (pernah beli sekali dulu) dan datanya sangat pantas. Lagi pantas dari Malaysia. Kalau nak mudah dapatkan je kat airport. Kalau merentas sempadan dengan menggunakan jalan darat, di border ramai je makcik-makcik menjual simcard di tepi bangunan imigresyen semasa korang turun untuk cop pasport. Sama ada pakej berbaloi atau pun tidak...tak dapat dipastikan lah.


4. Duit

Tak ada masalah untuk tukar duit kat Vietnam tapi aku lagi rekemen tukar kat tanah air. Kalau ke Saigon ada juga kedai yang terima RM tapi tak semua lah. Bahkan aiskrim kat Ben thanh market harganya RM3 bayar pakai ringgit. Di kebanyakkan bandar besar diorang lagi suka guna USD tapi tak bermaksud VD tak digunakan. Cuma bila diorang convert tu diorang lebihkan sikit tukarannya. Macam biasala...cari makan... So simpan sikit USD kalau ada...kalau tak ada pun takde masalah.


4. Hotel/penginapan

Bagi aku sepanjang aku mengembara Di Vietnam apa yang aku dapati hotel or hostel di negara ni memang murah kecuali di Saigon. Sebenarnya ada je hotel yang murah tapi tak dapatla nak duduk kawasan Ben Thanh market. (Ben Thanh duduk kat district 1 ye...sila ingat kalau nak booking hotel secara atas talian) Jauh la sikit dan tak silap aku kat Saigon tu ada backpackers street sebab aku nampak berbondong je omputeh keluar dari satu jalan tu berhampiran jugak dengan Ben Thanh. Kat tempat lain aku dapati budget dalam 60-70 ringgit dah dapat yang mewah dah. (Bergantung pada korang punya pengertian istilah mewah tu)



Kesimpulan 

Bagi aku perjalanan ini meskipun hanya 6 hari tapi banyak pengalaman dan pengetahuan terutama sekali berkaitan cara hidup masyarakat persekitaran didapati. Secara jujur aku katakan yang 6 hari memang tak cukup dan kalau korang tengok balik perjalanan aku semuanya agak rushing, tidak seperti pengembara-pengembara terutama sekali dari negara barat yang kebanyakkannya mengambil masa lama dalam pengembaraan mereka. Tapi apa nak dibuat sebab keadaan kewangan dan masa yang tidak mengizinkan. Kalau ada kesempatan, masa yang mengizinkan dan mencukupi serta kewangan yang mantap memang aku ingin menjelajah Vietnam lagi disebabkan banyak lagi tempat sebenarnya yang masih belum aku jejaki di bumi Kemboja dan Vietnam ini sebagai contohnya melawat banjaran dataran padi di utara Vietnam dan juga bermalas-malasan di Sihanok-ville.

Sekian.